Tuesday, September 23, 2008

3 Pelajar UiTM Arau maut, dua cedera


GEORGETOWN: Tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis maut manakala dua lagi rakan mereka cedera setelah kereta yang mereka naiki terbabas dan melanggar pokok di Kilometer 157, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke utara, tidak jauh daripada kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Bakap dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.25 petang itu, dua daripada mangsa terbunuh di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ)lewat malam tadi.

Dua yang cedera itu dirawat di hospital yang sama.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat ketika dihubungi berkata, mereka yang terbunuh di tempat kejadian ialah penumpang di bahagian tempat duduk belakang kereta berkernaan, Ahmad Faisal Azhar, 18, dari Kg Petai, Kangar dan penumpang hadapan Raja Mohamad Salahuddin Raja Sukri, 18, dari Hala Pulai Jaya 5, Kampung Kepayang, Perak, manakala seorang lagi penumpang di belakang, Mohamad Abdul Muhimin Ahmad Razuan, 18, dari Taman Meru, Ipoh meninggal dunia di HSJ.

Katanya, pemandu kereta Perodua Kancil berkenaan, Muhammad Adham Shamsuddin, 19, dari Fasa 3b, Sri Manjung, Perak patah kaki kiri manakala seorang lagi penumpang di belakang Himam Abu Zarin, 18, dari Shah Alam cedera ringan di bahagian belakang dan kini berada dalam keadaan stabil.

Katanya, berdasarkan kad matrik yang dijumpai di dalam kereta itu, semua mereka penuntut UiTM kampus Arau.

Beliau berkata, hasil bedah siasat terhadap ketiga-tiga mangsa yang terbunuh mendapati mereka mati akibat parah di kepala.

Shafien berkata, kereta itu dipercayai disewa penuntut berkenaan untuk ke Perak dan ketika kemalangan, mereka dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke kampus mereka. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...