Friday, June 5, 2009

Uban Yang Membahagiakan

Selagi usia belum sampai ke penamat, turun naik kehidupan akan tetap berlaku. Beberapa tahun dulu sudah berada di puncak, sekarang jatuh balik; sekejap dulu rasa macam sudah berjaya, sekarang rasa macam terjelepuk pula.

Usah hairan, hidup memang macam tu.

Selagi nafas masih ditarik dan dikeluarkan, turun naik kehidupan tetap mengambil tempat. Tidak ada orang yang sudah berada di puncak akan terus di situ selama-lamanya, ada ketikanya dia akan berada di bawah. Sama ada dia mahu mengakuinya ataupun tidak, pada ketika-ketika tertentu memang kehidupan akan memutarkan rodanya. Kalau ada orang berkata, “Tidak, saya tak pernah jatuh. Saya sudah memiliki segalanya sekarang. Harta saya banyak, pangkat saya besar. Saya tak mungkin ke bawah.”

Tanyalah orang itu, apakah dia tidak pernah berasa seperti tidak dipedulikan? Ketika pergi ke pusat-pusat pentadbiran masih terpaksa beratur panjang meskipun dulunya boleh pintas sesiapa saja. Tatkala sedang memandu tiba-tiba sebuah kereta buruk memotong secara berbahaya lalu terpaksa membrek. Apakah ketika itu tidak terasa seperti diperkecil-kecilkan? Ketika berada di satu majlis, lantaran orang sudah tidak begitu kenal, lalu dibiarkan bersendirian. Ketika anak-anak telah dewasa lalu berpindah, orang gaji pula tiba-tiba sakit, terpaksalah menyediakan minuman pagi sendiri padahal selama ini benar-benar tuan besar. Kalau pun dia seorang yang sangat agung, sedari kecil hinggalah dewasa memiliki segala-galanya hingga tidak mungkin nyamuk pun hinggap, tatkala di Makkah apakah masih boleh berasa seperti itu?

Katalah dengan kuasa dan hartanya dia boleh meletakkan dirinya ke tempat paling istimewa, tatkala melakukan tawaf dan melihat Kaabah apakah merasakan dirinya masih di atas? Nah, itu bukti menunjukkan putaran hidup sentiasa berlaku. Usah degil untuk tidak mahu mengakui usia yang semakin pendek. Usah tidak hirau dengan uban yang semakin banyak. Usah terlalu ego asyik hendak bercerita tentang kejayaan masa muda sedangkan hari tua amalan semakin sedikit. Maklum, kekuatan sudah pudar, kesihatan juga hambar. Memang uban tidak boleh disinonimkan dengan ketuaan sebab bukankah pada usia 30-an sehelai dua uban mula mencelah-celah di sana sini?

Kehidupan masakini menyebabkan stres lebih kerap berlaku, maka ini salah satu punca uban terjadi pada usia muda. Warna rambut juga berhubung dengan melanin, iaitu pigmen pewarna yang terhasil oleh sel melanosit di bawah akar rambut. Melanosit inilah yang menentukan apakah rambut seseorang itu berwarna coklat, emas ataupun hitam. Bagaimanapun, secara alamiah, uban akan tumbuh apabila usia mencecah 50 tahun ke atas kerana pada usia begini aktiviti dan kapasiti sel-sel tubuh menurun. Ketika itu terjadi, aktiviti sel melanosis ikut menurun dan pada satu tahap akan pencen terus. Ketika ia pencen, rambut yang asalnya hitam berkilat menjadi ‘salji’ seluruhnya. Tumbuhnya uban ibarat turunnya putaran roda. Ia dikatakan isyarat ghaib terhadap usia yang mungkin semakin pendek. Nisbahkan pada kehidupan dunia, ia ibarat juruingat dan jurunasihat bahawa setiap detik adalah usia dan apa yang dilakukan dalam usia – turun dan naik, turun dan naik. Sekurang-kurangnya ada dua perkara penting untuk diberi perhatian pada keadaan seperti ini:

1. Semak diri dan tanya hati; siapa aku, hendak ke mana aku, di mana aku, apa yang boleh aku lakukan untuk ‘besok’.

2. Kenang-kenang masa yang telah dilalui dan berbahagia serta berbanggalah dengan semua pencapaian serta kongsikan dengan orang lain mana-mana yang boleh.


Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw bersabda, “ALLAH berfirman, Demi kemuliaan-KU dan kebesaran-KU tidak akan AKU himpun pada hamba-KU dua kali takut dan dua kali aman. Jika dia takut kepada-KU di dunia AKU beri aman di Hari Kiamat dan jika dia berasa aman dari-KU di dunia AKU takutkan dia di akhirat (hari Kiamat). ~Riwayat Ibn Hibban~

Jika uban telah datang tetapi sejarah silam hanyalah hitam atau putih yang rasanya tidak pernah kedam walau sekali, uban hari ini adalah detik mula untuk muhasabah diri. Meniti usia berbaki bukan mesti miskin bakti dan kecil wawasan. Selagi usia masih ada ia perlu digembeleng untuk kecemerlangan.

-DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj-

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...